;
;

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Kedatangan bulan Ramadhan merupakan rahmat bagi setiap orang
yang beriman. Di bulan ini dibukakan segala pintu-pintu langit,
pintu-pintu syurga dan pintu-pintu rahmat. Sebagai seorang yang
beriman, sudah setentunya tidak ingin terlepas segala peluang yang
ada. Lebih-lebih lagi di bulan ini banyak keistimewaan dan
ganjaran pahala.

Di samping itu, kanak-kanak tidak ketinggalan juga turut berpuasa
sama ada didorong oleh ibu bapa ataupun kemahuan mereka
sendiri. Pada kebiasaannya, ibu bapa menggalakkan anak-anak
mereka yang belum baligh berpuasa walaupun puasa mereka itu
tidak sampai sehari penuh. Kadang-kadang ia hanya sebagai satu
latihan praktikal kepada anak-anak, di samping mengenal apa itu
puasa.

Tindakan ibu bapa melatih anak-anak mereka berpuasa adalah satu
tindakan yang terpuji. Ini selaras dengan syara‘ untuk menyuruh
anak-anak mereka, jika terdaya untuk berpuasa ketika berumur 7
tahun dan memukulnya (pukulan yang tidak mencederakan) jika
meninggalkan puasa ketika berumur 10 tahun. Perkara ini
diqiyaskan kepada menyuruh anak mengerjakan kewajipan
sembahyang.

Sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam:

Maksudnya: “Perintahkanlah anak-anak kamu supaya
bersembahyang ketika mereka berumur tujuh tahun, dan pukullah
mereka atas (keengganannya) ketika mereka berumur sepuluh
tahun…”
(Hadits riwayat Abu Daud)

Hukum Kanak-Kanak Berpuasa

Salah satu syarat wajib puasa itu ialah baligh. Kanak-kanak yang
sudah mencapai umur baligh adalah diwajibkan ke atasnya puasa
Ramadhan.
Sementara kanak-kanak yang belum mencapai umur baligh, tidak
diwajibkan ke atasnya puasa Ramadhan dan tidak diwajibkan
qadha.

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Diangkatkan (dibebaskan) dosa daripada tiga
(golongan): orang yang tidur sehingga dia sedar, kanak-kanak
sehingga dia mimpi (baligh) dan orang gila sehingga dia
berakal.”
(Hadits riwayat Abu Daud)

Persoalannya, bagaimana pula jika kanak-kanak yang belum
mumayyiz atau yang sudah mumayyiz berpuasa, adakah puasa
mereka itu sah ataupun tidak?

Penjelasan hukum mengenainya adalah seperti berikut:-

(1) Kanak-Kanak Yang Belum Mumayyiz

Kanak-kanak yang belum mumayyiz ialah kanak-kanak yang
tidak tahu membezakan di antara yang baik dan buruk. Tidak
sah puasa kanak-kanak yang belum mumayyiz. Ini kerana
syarat sah bagi orang yang berpuasa itu ialah berakal dan
mumayyiz.

(2)Kanak-kanak yang mumayyiz

ialah kanak-kanak yang sudah
tahu membezakan di antara yang baik dan buruk. Sah puasa
kanak-kanak yang mumayyiz apabila ia berniat puasa di
malam hari, walaupun puasa Ramadhan itu tidak diwajibkan
ke atasnya.

Beberapa Permasalahan Kanak-Kanak Mengenai Puasa
Ramadhan

Di antara permasalahan kanak-kanak dalam puasa Ramadhan
adalah seperti berikut:-

(1) Baligh Sebelum Masuk Waktu Puasa

Apabila kanak-kanak mencapai umur baligh sebelum masuk
waktu puasa, adalah diwajibkan ke atasnya berpuasa. Sebagai
contoh, kanak-kanak itu bermimpi (keluar air mani) di malam
hari puasa maka wajib dia berniat puasa untuk siang harinya.

(2) Baligh Selepas Masuk Waktu Puasa

Kanak-kanak yang mencapai umur baligh selepas masuk
waktu puasa, penyelesaiannya adalah seperti berikut:-

(i) Jika di siang hari itu dia berpuasa, lalu mencapai umur
baligh, maka wajib disempurnakan puasanya itu. Ini
kerana dia sudah tergolong orang yang diwajibkan
berpuasa ketika itu.

Persoalannya, adakah wajib ke atasnya qadha? Dalam
hal ini, tidak lagi diwajibkan ke atasnya qadha.

(ii) Jika di siang hari itu dia tidak berpuasa, lalu mencapai
umur baligh, maka tidak diwajibkan ke atasnya imsak
(menahan diri daripada perkara-perkara yang
membatalkan puasa) pada baki waktu puasa di hari
tersebut. Walau bagaimanapun disunatkan juga ke
atasnya imsak pada baki waktu puasa di hari tersebut
bagi menghormati waktu dan sebagai jalan keluar
daripada perselisihan pendapat ulama yang mengatakan
wajib imsak.

Persoalannya, adakah wajib ke atasnya qadha?

Dalam hal ini, tidak diwajibkan ke atasnya qadha. Walau
bagaimanapun sunat ke atasnya mengqadha puasa
tersebut.

Ibu bapa adalah berkewajipan untuk mendidik anak-anak mereka
tentang agama Islam sejak di usia awal mereka lagi. Mendidik
tentang pengetahuan agama, menanamkan akhlak-akhlak mulia
dan sebagainya. Ini termasuklah juga menyuruh mereka berpuasa
ketika berumur 7 tahun sebagaimana dalam perkara sembahyang.
Semoga penjelasan yang telah dihuraikan mengenai hukum kanakkanak
berpuasa serta beberapa permasalahannya akan menjadi
panduan kepada ibu bapa malah kepada anak-anak mereka bagi
menjalani ibadah puasa dengan sesempurnanya.

Dicatat oleh mai la

Pengikut

Subscribe here