;
;


Seorang tokoh ulamak terkenal di bidang aqidah al-Syeikh Dr. Safar al-Hawali telah ditanya tentang kumpulan Ahbash adakah mereka ini di kalangan ahli sunnah wal jamaah seperti mana yang didakwa oleh mereka:
Syeikh menjawab:Sesungguhnya mereka yang beraqidah dengan aqidah yang sahih di Lubnan sering diperangi oleh setiap puak yang dengki dan iri hati terhadap ahli sunnah wal jamaah.

Seperti yang kamu semua ketahui, di Lubnan kesemua kumpulan dan agama yang wujud di atas muka bumi ini semuanya ada di Lubnan. Di tambah pula dengan masyarakat ahli sunnah yang berlumba-lumba di dalam perkara yang bid’ah dan kesesatan yang banyak.

Antara perkara yang disebarkan di sana ialah Aqidah Jahmiyyah yang buruk yang berselindung di sebalik Asy’ariyyah. Kamu semua mengetahui perbezaan Aqidah Abu al-Hassan al-Asy’ari yang telah kembali kepada Aqidah ahli sunnah wal Jamaah dengan Aqidah Jahmiyyah yang mereka ini menafikan bagi Allah itu sifat-sifat. Lalu mereka menafikan sifat al-Uluw (ketinggian) bagi Allah, mereka mengubah Kalamullah Azza wajalla, mereka menyatakan iman itu hanya di dalam hati, (fahaman murjiah), dan di dalam masalah Qadar mereka menghampiri mazhab Jabariyyah,

Kumpulan Jahmiyyah ini yang berada di Lubnan di kepalai oleh seorang lelaki dari Habasyah. Lihatlah bagaimana Allah menguji bumi Lubnan dengan sekian banyaknya ujian dan cubaan. Muncul lelaki dari Habasyah ini dan pergi ke Lubnan yang sebelumnya dia telah mempelajari kitab-kitab Al-Asy’ariyyah dan ilmu kalam, sekarang mengajar pula masyarakat di Beirut Aqidah ini. sehingga tersebar ajarannya dengan pengikut-pengikutnya yang bersenjata bergerak secara militan (pengganas). Memaksa orang lain supaya mengikut Aqidah Jahmiyyah dengan dakwaan itulah Aqidah yang diterima oleh Allah dan konon-kononnya itulah Aqidah ahli sunnah.

Inilah dia Abdullah al-Habasyi yang menetap di Beirut. Pengikut-pengikutnya dikenali dengan nama al-Ahbash. Mereka inilah yang berada di atas Aqidah (yang disebutkan) yang sesat lagi menyesatkan. Wal’iyazubillah.

Mereka membunuh seorang pemuda ahli sunnah disebabkan pemuda ini tidak sependapat dengan mereka di dalam masalah sifat al-Uluw bagi Allah. Pemuda ini telah menulis sebuah kitab yang bertajuk “Istbat ‘Uluwwillah Ta’ala ‘ala Khalqihi” bermaksud menetapkan sifat al-Uluw bagi Allah ke atas makhluqNya. Mati pemuda ini syahid Insya Allah, Rahimahullahu Ta’ala.Aqidah yang seperti mereka katakan, Allah itu tidak di atas, tidak di bawah, tidak di dalam alam, tidak di luar alam meruapakan Aqidah yang bathil. Maha suci Allah dari apa yang mereka katakan. Aqidah ini berasal dari falsafah Yunani, Wathaniyyah yang dibawa oleh mereka kemudian di namakan sebagai ilmu kalam. Akhirnya mereka mendakwa inilah dia aqidah ahli sunnah wal Jamaah.

Tetapi kumpulan Ahbash ini mengajarkan aqidah yang bathil ini. Fallahul musta’an. Alhamdulillah Habasyi ini telah pun ada sebahagian dari kalangan ahli sunnah yang mengkritik dan menjawabnya, begitu juga sudah ada kitab-kitab yang menjawab mereka. Tulisan-tulisannya (Habasyi) sangat menunjukkan kedangkalannya, mana-mana sahaja penuntut ilmu yang membacanya mampu untuk menjawabnya dengan mudah.

(Syeikh menjawab ketika sesi soal jawab perjumpaan mingguan, kaset yang ke 40)

Dicatat oleh mai la

Menyedari hakikat berbuat baik kepada kedua ibu bapa, berbakti kepada mereka bukanlah sesuatu yang ringan dan mudah. Ia memerlukan pengorbanan yang besar, maka dengan itu Islam menawarkan nilai pahala yang amat besar bagi yang melaksanakannya. Terdapat banyak hadith yang menunjukkan perkara ini. Imam Muslim di dalam kitab Sahihnya meriwayatkan sebuah hadith yang berbunyi:

رغم أنفه من أدرك والديه عند الكبر أحدهما أو كليهما فلم يدخل الجنة
Maksudnya: “Kehinaan bagi sesiapa yang memiliki kedua ibu-bapanya yang tua salah seorang atau kedua-duanya, dan tidak dapat memasuki syurga.”[1]

Al-Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini berkata: “Hadith ini berupa galakan untuk berbuat baik kepada ibu-bapa dan besarnya pahalanya, maknanya berbuat baik kepada mereka berdua ketika mereka tua dan lemah dengan memberi khidmat atau nafkah atau selainnya menjadi sebab dapatnya memasuki syurga, dan sesiapa yang mengurangi perkara ini (berbuat baik kepada ibu-bapa), dia terlepas dari dapat memasuki syurga dan Allah menghinakannya.”[2]

Demikian betapa besarnya kedudukan berbuat baik kepada ibu-bapa sehingga ia menjadi sebab beroleh syurga ataupun neraka.

Di dalam al-Adab al-Mufrad[3] al-Imam al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadith daripada Ibn ‘Abbas R.A. yang didatangai seorang lelaki dan bertanya:

إنِّي خَطَبْتُ امرَأةً فَأبَتْ أن تَنْكِحَنِيْ, وَخَطَبَهَا غَيْرِيْ فَأحَبَّتْ أن تَنْكِحَهُ, فَغِرتُ عَلَيْهَا فَقَتَلْتُهَا, فَهَلْ لِي مِنْ تَوْبَةٍ؟ قال: أُمُّكَ حَيَّةُ؟ قال: لَا, قال: تُبْ إلى اللهِ عَزَّوَجَلّ, وَتَقَرَّبْ إلَيْهِ مَا اسْتَطَعْتَ. قال عطاء من يسار: فَذَهَبْتُ فَسَألْتُ ابنَ عَباسٍ: لمِاَ سَألْتَهُ عَن حَيَاةِ أمِّهِ؟ فقال: إنِّيْ لَا أعْلَمُ عَمَلاً أقْرَبُ إلى اللهِ عَزَّوَجَلَّ مِنْ بِرِّ الْوَالِدَةْ.
Maksudnya: “Aku telah meminang seorang wanita, akan tetapi ia tidak menerima pinangan-ku, kemudian wanita itu dipinang oleh lelaki lain, dan wanita itu menerimanya, maka timbul perasaan cemburu aku terhadap wanita itu, lalu aku membunuhnya. Apakah bagi-ku ada peluang (diterima) taubat? Ibn ‘Abbas bertanya: “(Apakah) Ibu-mu masih hidup?” Jawab lelaki itu: “Tidak.” Kata Ibn ‘Abbas: “Bertaubatlah kepada Allah A.Z.W.J. dan hampirkanlah diri kepada-Nya semampu-mu.” ‘Atho bin Yasar berkata: “Aku pergi bertanya kepada Ibn ‘Abbas: “Mengapa anda bertanya kepada lelaki itu apakah ibunya masih hidup?” Jawab Ibn ‘Abbas: “Sesungguhnya aku tidak mengetahui adanya satu amalan yang lebih hampir kepada Allah A.Z.W.J. lebih daripada berbuat baik kepada ibu.”[4]

Hadith ini menunjukkan kepada kita bagaimana berbuat baik kepada ibu dapat menghapuskan kesalahan yang dilakukan, kerana itu sahabat Nabi S.A.W. Ibn ‘Abbas r.a. bertanyakan keadaan ibu lelaki tersebut apakah masih hidup ataupun tidak, sehingga dia dapat berbuat baik kepada ibunya, seterusnya dapat menghapuskan kesalahan dan dosanya. Dari Abu Hurairah R.A. Nabi S.A.W. bersabda:

لاَ يَجْزِي وَلَدُ وَالِدَهُ إلا أنْ يَجِدَهُ مَمْلُوكا فَيَشْتَرِيَهُ فَيُعْتِقَهُ
Maksudnya: “Seorang anak tidak dikira dapat membalas kebaikan bapanya, melainkan jika dia mendapati bapanya menjadi hamba (kepada seseorang), kemudian dia membelinya dan memerdekakan bapanya itu.”[5]

Demikian betapa besarnya pengorbanan seorang bapa kepada anaknya. Sehingga seorang anak tidak akan mampu membalas kebaikan bapanya melainkan jika dia berjaya membebaskan bapanya dari menjadi seorang hamba.

Al-Sindiy di dalam Syarh Sunan Ibn Majah berkata tentang hadith ini:

“Ini kerana hamba itu umpama seorang yang binasa, maka seolah-olah dengan pembebasan itu, anaknya mengeluarkannya dari kebinasaan kepada penghidupan, maka jadilah perbuatan si anak itu menyamai perbuatan si bapa yang menjadi sebab kewujudannya daripada tiada kepada ada.”[6] Abdullah bin ‘Amr pula meriwayatkan:

جاء رجل إلى النبي صلى الله عليه وسلم يبايعه على الهجرة وترك أبويه يبكيان فقال: ارجع إليهما وأضحكهما كما أبكيتهما
Maksudnya: “Seorang lelaki datang kepada Nabi saw hendak berbaiah untuk berhijrah, dia meninggalkan ibu-bapanya dalam keadaan mereka berdua menangis, lalu Nabi S.A.W. bersabda: “Pulang kepada mereka berdua, dan ketawakanlah mereka semula sebagaimana kamu telah menjadikan mereka menangis.”[7] Daripada Abdullah bin ‘Amr juga katanya:
جاء رجل إلى النبي صلى الله عليه وسلم يريد الجهاد فقال: أحي والداك؟ قال: نعم, فقال: ففيهما فجاهِد:
Maksudnya: “Seorang lelaki datang kepada Nabi S.A.W. hendak menyertai jihad, sabda baginda: “Apakah dua ibu-bapamu masih hidup? Jawab lelaki itu: “Ya”, sabda Nabi S.A.W.: Terhadap mereka berdua laksanakanlah jihat (untuk keredhaan mereka berdua).”

Hukum Berbuat Baik Kepada Ibu-Bapa

Di dalam al-Quran Allah S.W.T. berfirman:

ووصينا الإنسان بوالديه حسنا وإن جاهداك لتشرك بي ما ليس لك به علم فلا تطعهما
Maksudnya: “Dan kami telah mengarahkan (mewajibkan) manusia (berbuat) kebaikan kepada ibu bapanya, jika mereka berdua bersungguh-sungguh untuk engkau mensyirikkan Aku dengan sesuatu yang engkau tidak ada pengetahun, maka janganlah engkau mengikuti kedua-duanya.” (al-’Ankabut’:

Jika dilihat kepada ayat di atas, Allah S.W.T. menyuruh manusia berbuat baik kepada ibu bapa menyusul selepas arahan mentauhidkan-Nya, perkara yang sama diulang juga di dalam surah al-Baqarah[8], Luqman[9] dan al-Nisa[10]. Al-Syeikh Muhammad al-Amin al-Syanqiti berkata:

“Allah Jalla wa ‘Ala menyebut di dalam ayat-ayat ini, (arahan) berbuat baik kepada ibu-bapa menyusul dengan (arahan) mentauhidkan-Nya dalam melakukan ibadah kepada-Nya, ia menunjukkan tuntutan yang bersangatan kepada kewajipan melakukan kebaikan kepada ibu-bapa.”[11]

Di dalam surah Luqman Allah berfirman:

وَإِنْ جَاهَدَاكَ عَلَى أَنْ تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا
Maksudnya: “Dan jika kedua ibu-bapamu, memaksa-mu untuk mempersekutukan dengan-Ku sesuatu yang tidak ada pengetahuan-mu tentangnya, maka jangan kamu mengikut keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik…” (Luqman: 15)

Dari ayat ini jelas menunjukkan berbuat baik kepada kedua ibu-bapa itu adalah suatu kewajipan walaupun mereka berdua tidak beragama Islam dan mereka berusaha bersungguhnya-sungguh hendak memurtadkan anaknya. Dalam keadaan sedemikian, sianak hanya diminta untuk tidak mentaati mereka dalam perkara syirik, namun ia tetap juga wajib menggauli mereka dengan baik. Jika demikian keadaannya, sudah semestinya berbuat baik kepada ibu-bapa yang muslim lebih utama walaupun mereka berada dalam serba kekurangan dari segi agama dan dunianya. Para ulama turut menekankan berbuat baik kepada kedua ibu-bapa ini merupakan suatu kewajipan yang sangat-sangat dituntut.

Syurga di Bawah Tapak Kaki Ibu.

Terdapat satu hadith yang masyhur diketahui oleh ramai orang iaitulah:

الجَنَّةُ تَحْتَ أقْدَامِ الأمَّهَات
Maksudnya: “Syurga itu berada di bawah telapak kaki para ibu.” Hadith ini diriwayatkan oleh Ibn ‘Adiy (ابن عدي) dan al-’Aqiliy (العقيلي) di dalam al-Dhu’afa’ daripada Ibn ‘Abbas R.’anhuma. Tentang hadith ini al-’Aqiliy berkata ia Mungkar. Al-Albani pula berkata ia hadith Palsu[12].

Akan tetapi terdapat hadith lain yang membawa makna yang sama dengan hadith ini, iaitulah hadith dari Mu’awiyah bin Jahimah (معاوية بن جاهمة ) yang datang kepada Nabi S.A.W. dan berkata:

يا رسول الله أردت أن أغزو، وقد جئت أستشيرك, فقالهل لك أم؟ قال: نعم. قال : فالزمها فإن الجنة تحت رجليها

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, aku ingin pergi perperang, aku datang untuk meminta pandangan-mu. Nabi S.A.W. bertanya: Apakah kamu mempunyai ibu? Jawabnya: “Ya”. Sabda Nabi S.A.W.: Peliharalah (berbuat baiklah kepada) dia, sesungguhnya syurga berada di bawah dua kakinya.”[13]

Kesemua ayat al-Quran dan hadith-hadith bersama dengan huraian para ulama yang disertakan di atas menunjukkan kepada kita kepentingan berbuat baik kepada ibu-bapa. Memelihara ibu-bapa yang sudah tua, bukanlah suatu perkara mudah untuk dilakukan. Mudah-mudahan tulisan yang serba kekurangan ini dapat memberikan motivasi, sesungguhnya setiap perkara yang susah itu memiliki ganjaran yang cukup besar di sisi Allah S.W.T.

——————————————————————————–

[1] Sila lihat Sahih Muslim bawah bab al-Birr wa al-Silah wa al-Adab
[2] Sila lihat Syarh Sahih Muslim
[3] Al-Adab al-Mufrad adalah tulisan al-Imam al-Bukhari selain Sahih al-Bukhari. Akan tetapi hadith-hadith di dalam kitab ini, al-Imam al-Bukhari tidak mensyaratkan sahih sepertimana hadith-hadith di dalam kitab sahihnya (al-Jami’ al-Sahih).
[4] Al-Suyuthi menyebut hadith ini di dalam al-Dur al-Manthur, dan al-Albani mensahihkannya di dalam al-Silsilah al-Sahihah.
[5] HR Muslim
[6] Syarah Sunan Ibn Majah oleh al-Sindiy (2/388): melalui perantara Syarah Sahih al-Adab al-Mufrad
[7] Hadith ini disahihkan oleh al-Albani di dalam Sahih Ibn Majah
[8]Al-Baqarah: 83
[9] Luqman: 15
[10] Al-Nisa: 36
[11] Muhammad Amin al-Syanqiti, Adhwa’ al-Bayan fi Iydah al-Quran bi al-Quran. jld. 3, m.s. 588
[12] Silsilah al-Ahadith al-Dho’ifah wa al-Maudhu’ah, jld 2, M.S. 59, Bil. Hadith: 593, Cet: Maktabah al-Maarif Riyadh
[13] Riwayat al-Nasa’I dan selainnya. Disahihkan oleh al-Hakim dan disepakati oleh al-Zahabi, diperakui juga oleh al-Munziri. Al-Albani pula menghasankan isnad hadith ini

Dicatat oleh mai la

Pengikut

Subscribe here